Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
*SERDANG*: PAS telah berjuang memperkenal dan mendaulat hukum syariah sejak sekian lama, hatta ketika ia tidak dipeduli masyarakat umum dan disaat sekularisme lebih dominan, demikian menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
Bahkan katanya, ketika itu apabila berbicara mengenai usaha mendaulatkan hukum syariah bukan sahaja tidak mendapat kelebihan politik, sebaliknya mendapat impak negatif.
Beliau menerangkan demikian pada Forum RUU355: “Wajarkah Bukan Islam Bimbang?” di Mines Seri Kembangan, di sini baru-baru ini.
“Bukan kita _‘approachiating’_, bukan kita takut _‘escapisme’_ daripada menjelaskan tentang kebaikan Islam. Bila diserang Islam ini, maka kami jelaskan kebaikan, cuma beberapa situasi kondusif perlu diambil dalam kita melakukan _‘consulation’_, terutama dalam masyarakat bukan Islam.
“Jangan jadikan RUU ini dan termasuk Hudud sebagai _‘punching bag’_. Setiap pihak daripada parti kerajaan ataupun pembangkang menggunakan RUU ini untuk mendapatkan _‘milleage_’ politik mereka, siapa yang paling kuat menentang Islam, dan menjadikan ia sebagai _’punching bag’_.
“Itu satu perkara yang tidak menyediakan suasana kondusif kepada kita melakukan _‘consultation’_ dan _‘negotiation’_ berkaitan RUU 355 ini dan syariah. Jangan kita menghantui, jadikan RUU ini sebagai hantu, _‘demonization’_, menakutkan golongan bukan Islam tentang perkara yang sebenarnya tidak patut takut,” nasihatnya.
Katanya, sekiranya perkara tersebut dibincangkan secara baik, pertembungan antara sekular dengan Islam itu sudah sepatutnya berakhir, walaupun hakikatnya pertembungan sering menyaksikan Islam atau golongan Islam paling tertekan, dibunuh, dipenjara, digantung dan sebagainya.
Menurutnya, inilah zaman mencari titik temu dengan mengadakan dialog dan seumpamanya yang mendatangkan manfaat, sebagaimana banyak negara yang kuat sekular juga boleh menerima sistem kewangan dan perbankan Islam pada hari ini.
Seru beliau, kurangkan ketegangan dan tidak perlu mengadakan referandum sejuta tanda tangan masyarakat bukan Islam yang tidak tahu mengena RUU ini, tetapi ditakut-takutkan dengan usaha cuba dibawa.
Jelas Dr Mohd Zuhdi, segala kebimbangan masih boleh dibincangkan ketika Bacaan Kali Kedua RUU itu nanti kerana bacaan dibawa Ahli Parlimen Marang hanyalah usul kepada kerajaan supaya meminda.
Terangnya, ianya akan menjadi RUU Pindaan selepas bacaan kali pertama dan kedua di mana ketika itulah kerajaan sendiri berperanan membawa perkara tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa usul RUU Persendirian bukanlah kali pertama dalam sejarah Parlimen dan seandainya tidak diluluskan sekalipun, PAS akan terus berdakwah menerusi proses kunsultasi dan rundingan.
Menyentuh pertikaian ia tidak dibahaskan pada pembentangan lalu, Dr Zuhdi menjelaskan bahawa ianya bertujuan meluaskan ruang-ruang penerangan.
“Kalau kita terus bahas nanti akan dipersoalkan, tidak bersedia dan sebagainya. Kita buat ini sebagai suatu proses _‘consultation’_ untuk membenarkan supaya berlakunya _‘negotiation’_ dengan semua pihak. Jadi, kalau masa yang lapang, kalau kita peruntukkan dengan cara yang baik, berbincang secara harmoni, mengenepikan elemen-elemen politik, saya yakin akan ada sokongan.
“Saya tidak menjangkakan hanya daripada 136 ataupun 137 Ahli-ahli Parlimen Islam, tetapi juga kita mengharapkan rakan-rakan yang bukan Islam sendiri boleh memberikan sokongan itu. Itu yang kita benarkan suatu ruang masa yang panjang, supaya ianya bukan hanya dibahaskan oleh Ahli Parlimen, tetapi ada ruang bagi rakyat untuk membahaskan perkara tersebut,” terangnya.
Tegas beliau juga, _“Rahmatan lil ‘alamin”_ hanya akan dapat dikecapi termasuk kepada bukan Islam dengan melaksana dan mendaulatkan Islam serta hukum-hukumnya yang menghadirkan kebaikan itu, sebagaimana Islam telah datang ke Asia Tenggara meng-Islamkan penduduknya tanpa pertumpahan darah, tetapi dengan dakwah.
No comments:
Post a Comment