Wednesday, April 10, 2019

Jangan sombong

Takkan pernah jatuh darjat mereka yang merendah diri.

Aku kenal seorang bekas pengetua yang hebat. Beliau ini sangat bertoleransi dengan anak-anak buah beliau.

Tanpa mengira pangkat, beliau layan orang bawah dengan baik. Tukang kebun sekolah sakit dia pergi ziarah, kerani sekolah diajaknya datang ke rumah, rumah pekerja bawahan dia pergi beraya untuk raikan mereka.

Pernah suatu ketika, garaj kuarter pengetua yang beliau diami dibaik pulih. Kontraktor menghantar beberapa buruh untuk baik pulih garaj itu.

Di tengah hari yang terik, buruh itu gigih menyiapkan garaj kereta itu. Kebetulan beliau pulang rehat masa tu. Dengan mesra dia menegur buruh kasar yang dia tak pernah kenal.

Dia minta mereka berehat dan ajak naik rumah makan tengahari bersamanya. Buruh kasar orang kampung itu merasa segan. Mereka tolak pelawaan dengan baik. Namun, pengetua ini berkeras ajak juga.

Dia tahu buruh itu kepenatan dan kelaparan setelah seharian bekerja.

"Tuan makanlah. Nanti kami makan kat kedai. Bau kami hapak dengan peluh dan keringat. Segan pula," kata si buruh pada pengetua.

"Jangan begitu. Mari makan dengan saya. Saya pun orang kampung juga. Mari, rezeki ni. Tak baik tolak," balas beliau dengan mesra.

Mereka makan bersama di meja makan. Dengan mesra pengetua ini bertanya nama, keluarga dan sebagainya. Dilayan sebagaimana beliau layan orang kenamaan juga. Bagai dia layan kaum kerabatnya.

Bau hapak peluh dan keringat itu tidak dihiraukan. Bahkan tidak disebut sama sekali. Sebelum pergi semula ke pejabat, beliau berpesan pada isteri agar sediakan air sejuk untuk buruh itu. Sediakan air dan makanan setiap hari.

Begitulah sikap beliau. Langsung tidak menjadikan pangkat sebagai asbab untuk bermegah dan bongkak.

Lama selepas pencen, beliau jatuh sakit. Cepat tersebar ke pelusuk negeri bahawa pengetua yang baik hati ini jatuh sakit.

Rumahnya bagai hari raya. Bagai pesta. Beratus-ratus orang datang menziarahi setiap hari. Dari sekecil-kecil pangkat hingga mereka yang berpangkat besar.

Suatu hari, Pengarah Pendidikan Negeri datang menziarahi beliau. Orang berpangkat paling tinggi dalam pendidikan dalam sesebuah negeri.

Beliau terlantar tidur diruang tamu masa ketibaan tetamu besar ini. Pengarah ini melihat wajah pengetua yang sedang lena dengan air mata yang bertakung. Sebak dan sedih sekali.

Perlahan dia kucup dahi tua itu dan berkata pada anak isteri beliau,

"Beliau dulu merupakan orang atasan saya. Saya banyak terhutang budi dengan jasa dan sikap toleransi beliau."

Orang paling tinggi pangkat di dalam sebuah negeri pun menunduk malu dengan kebaikan dan budi beliau. Padahal dari segi pangkat, Pengarah itu jauh lebih tinggi. Tambahan pula pengetua itu dah lama pencen.

Namun budi baik yang pernah dia terima dari pengetua itu tersemat dihati. Tersimpan kukuh sampai mati.

Maka benarlah. Benarlah bila kita berkuasa tapi merendah diri tidak sesekali menjatuhkan darjat dan martabat kita.

Bahkan jasa itu sentiasa dikenang walau pangkat itu sudah hilang.

Aku mengingatkan diri dan para sahabat sekalian, jika pernah suatu ketika nanti Tuhan kurniakan kita pangkat yang tinggi; jangan sesekali berasa bongkak dengan jawatan.

Jangan sesekali angkuh dengan kedudukan. Kerana bila semua itu hilang, tiada siapa akan pandang. Hormat orang akan hilang. Sanjungan orang akan berkurangan.

Sebaliknya jika kita terus menunduk saat kita tinggi melangit, kita akan terus diingati walau tiada jawatan lagi.

Ada pangkat, jangan bongkak.

Ingat itu.

No comments:

Post a Comment