Monday, December 26, 2016

Bersyukurlah


Wahai anakku.
Ikhlaslah dalam beramal,  kerana Allah tidak berhajat kepada amalan yang dilakukan untuk menunjuk kepada manusia atau  dilakukan kerana mengharapkan  keredhaan manusia.

Wahai anakku.
Apalah yang kamu ingin banggakan amalanmu sedang kamu tidak tahu apakah Allah menerima atau menolak amalanmu.  Kalau Allah menerima amalanmu bukanlah kerana hebatnya amalan itu, tetapi ia adalah kerana rahmat Allah ke atas mu dan belas kasihan Allah kepadamu. 

Wahai anakku

Janganlah engkau menyombong dirimu di dunia yang sementara ini kerana saat uzurmu akan mencabut segala kesombonganmu. Bagaimana pula nanti waktu kamu berdiri di hadapan Tuhanmu dalam keadaan tiada penolong dan pembantu.

Wahai anakku.
Di antara cara menjadikan kita sentiasa bersyukur kepada Allah ialah melihat musibat yang menimpa orang lain jauh lebih besar dari apa yang kita tanggung, dan melihat nikmat yang Allah kurniakan kepada kita jauh lebih baik dari apa yang ada pada orang lain.

Wahai anakku,

Jangan kamu besarkan kekurangan yang ada kerana ia akan menjadikan  kamu menghina diri, dan tidak mensyukuri nikmat yang sedang kamu hayati.   sebaliknya manfaatkan kelebihan yang dikurniakan Allah kepada kamu, agar kamu jadi hambanya yang bersyukur.

Wahai anakku.
Nafas yang keluar masuk dalam kerongkongan mu petanda rahmat Allah yang berterusan kepadamu.  Bagaimana kalau tiba-tiba ia dihentikan oleh Allah,  apakah ikhtiar mu. Maka janganlah engkau merungut kekuranganmu dan merasa sedikitnya kurniaan Tuhan kepaadamu ,  sebaliknya belajarlah menjadi hamba Allah yang bersyukur.

Senyum selalu.
Tawau Sabah
25hb Disember 2016.

<<------------------>>

No comments:

Post a Comment