"Ala, susahlah, malas nak buat",
sambil terus borak dengan rakan-rakan.
"Cikgu, tak tahu nak buat",
selepas baru 5 saat tengok soalan.
"Apa dia tulisan banyak-banyak ni cikgu. Dia cakap apa? Bacakan, lepas tu bagi ringkasan"
•
Perasan kan ini bahasa majoriti budak-budak zaman sekarang? Cikgu-cikgu hadapi di sekolah. Ibu bapa berdepan di rumah.
Generasi nak segera.
Generasi tak mahu susah.
Generasi cuba dengan bersahaja.
Generasi cepat putus asa.
Bukan nak cerita nostalgia dan bermelankolik sangat. Tapi cuba ingat kita dulu-dulu macam mana.
Sebelum terpecul lah perkataan 'susah' tu dari mulut, jenuh usaha. Takut sangat nak kata 'tak tahu' depan cikgu. Sebab dah tahu dah habuannya berbirat tangan.
Berbirat tangan dulu-dulu bukan sebab buat jenayah mencuri atau hisap ganja pun.
Sekecil-kecil kesalahan, salah sebut atau salah eja ketika dalam kelas pun boleh relai bulu ayam dari rotan, penangan libasan cikgu.
Sekarang, hukuman rotan untuk tujuan akademik hampir tiada. Zero.
Generasi baru percaya, semua boleh jalan dengan hanya bagi kata-kata positif.
Generasi ini lebih percaya setiap orang ada aura-aura, merah, kelabu, jingga, hijau, kuning, dari percaya bahawasanya dengan 'piapp!' sedas kat punggung boleh selesai masalah segera.
Generasi baru rasa perlu tukar pendekatan. Cara lama sudah ketinggalan. Namun, lihatlah di sekeliling, sudah jadi sangat hebatkah generasi anak kita setelah dibuang rotan?
•
Mungkin ada yang kata, "baguslah budak sekarang. Bila tak tahu, mengaku tak tahu".
Betul, dari segi jujur tu memang bagus dah.
Tetapi, tak tahu setelah usaha gigih, dengan cakap tak tahu sebab menunggu 'suapan jawapan' dari cikgu dan ibu bapa, kan beza?
Dapat kertas, selang 5 saat,
"cikgu, tak tahu nak buat".
Bagi kerja kat dapur, mula pun belum,
"mak, tak reti lah nak buat".
'Indah' kan ungkapan tu didengar setelah berbuih kau mengajar?
•
Ini generasi yang lahirnya bersama 'google' atau sesudah ada 'google'.
'Feel dan adventure' dalam kembara ilmu tu tak ada. Tak ada rasa keperluan nak bergegas ke library, cari di rak mana ada ilmu sekian-sekian.
Tak rasa ralat kalau sedang berada dalam keadaan tak tahu sebab sentiasa tahu kalau on gadjet, taip di google, cikgu google tolong.
Benda ni semua peringkat dah rasa kesannya.
Mak ayah pening.
Anak bukan main cerdik pintar dalam keputusan peperiksaan di sekolah. Tapi nak selesaikan masalah rutin kat rumah pun berteriak satu rumah panggil mak ayah.
Cikgu sekolah pening.
Bagi kerja sekolah, begitunya ketika balik ke rumah, begitu jugalah buku yang dihantar tak berubah.
Pensyarah matrikulasi dan universiti pening.
Yang masuk semua berderet A. Makin berganti tahun makin tak muat kertas keputusan nak paparkan A. Tapi bila bagi tugasan, hasilnya macam kerja budak kelas pemulihan.
Masyarakat pun pening.
Kita berada pada zaman yang mana 'common sense' bertukar menjadi perkara 'wow'.
Tolong kucing, wow!
Pimpin tangan orang tua, wow!
Bantu orang susah, wow!
Kutip sampah, wow!
Semuanya 'wow' asalkan ia benda baik, ambil gambar, buat sikit storyline kat fb dan viral!
Kalaulah zaman atuk nenek kita ada Huawei Mate 20 X Pro Triple Leica Camera beserta Facebook, tak cukup ruang rasanya nak viralkan beribu kebaikan mereka.
Bukan setakat alihkan ranting tepi jalan, tapi membanting tulang teroka hutan, buka tanah dan sebuah negara bangsa didirikan!
#khairulkamilin